Tips Beli Rumah

Ingin beli rumah? Rumah Pertama anda? Mesti masing-masing teruja untuk membeli rumah pertama, tak sabar nak dapat rumah cepat-cepat, tak sabar untuk masuk rumah dan segala-galanya nak cepatkan. Di sini saya ingin kongsikan tips untuk beli rumah, khas untuk yang pertama kali beli rumah dan umumnya untuk beli rumah yang kedua, ketiga dan seterusnya.

Jualbeli rumah bukannya proses yang sekejap ye, ia melibatkan banyak pihak antaranya pihak bank, pihak pemaju, lawyer dan juga penjual serta pembeli, lembaga perumahan, LHDN, Pejabat tanah, ejen hartanah dan ramai lagi. Bila melibatkan banyak pihak, masing-masing mempunyai pendapat sendiri dan juga peraturan sendiri. Amat sukar untuk bersetuju dengan tarikh dan juga ‘dateline’ yang diberikan.

Jadi inilah tips asas yang perlu anda cari untuk membeli rumah pertama:-

1. ILMU
Ya, anda akan melantik peguam untuk menyelesaikan proses jualbeli bagi pihak anda, tetapi anda kena tahu juga serba sedikit tentang proses jualbeli ini. Apa yang perlu anda sediakan untuk beli rumah, berapa banyak wang yang kena sediakan, siapa yang perlu anda hubungi dan bagaimana prosedurnya. Anda perlu tahu itu untuk mengelakkan kes penipuan. Untuk mengelakkan keterujaan anda bertukar menjadi kisah tragis.

Malah dalam kes-kes tertentu, Peguam hanya akan datang selepas anda membuat bayaran deposit kepada tuan rumah / ejen hartanah. Maka, nak tak nak, anda kena ada ilmu dan pengetahuan tentang apa yang perlu anda buat. Banyak sumber yang boleh dirujuk di majalah-majalah, buku-buku serta jaringan internet tanpa sempadan. Jangan malas dan ambil mudah tentang tip pertama ni.

2. WANG

Sekarang ni, jarang tuan rumah bersetuju untuk menjual tanpa deposit rumah kecuali anda mendapat 100% pinjaman. Bank hanya akan menawarkan 90% pinjaman ye untuk rumah pertama dan itu bergantung kepada nilai rumah. Ok, anda perlu sediakan sekurang-kurangnya 10% duit deposit dari harga beli rumah. Kos peguam yang akan melibatkan 2 kos (satu untuk perjanjian jualbeli dan satu lagi untuk perjanjian pinjaman). Kos lain, jika pinjaman anda tidak mencukupi 90% dari harga rumah, anda kena sediakan duit beza untuk cukupkan (top up) pinjaman yang tidak cukup itu. Kadang-kadang ada bank yang tidak masukkan dalam pinjaman, kos nilai rumah, maka anda yang perlu bayar kepada penilai nanti. Jika tidak bernasib baik pula, anda dikehendaki membayar caj kelewatan menyelesaikan pembayaran rumah kepada penjual (late payment interest).

Apa yang pasti, carilah info berkenaan kos-kos yang perlu disediakan sebelum beli rumah kerana silap percaturan, anda yang pening dan stress.

3. KESABARAN

Tips yang penting sekali dalam menyediakan diri anda untuk berhadapan dengan situasi-situasi yang tidak diingini. Sebagaimana yang saya nyatakan di awal tadi, kes jualbeli akan melibatkan ramai pihak dan satu pihak saja tidak dapat menyelesaikan kes jualbeli ini tanpa bantuan dan juga pemahaman pihak lain. Sekiranya pihak-pihak bekerjasama dan juga tahu tugas masing-masing dan berjaya mematuhi tarikh yang telah ditetapkan, itu sudah cukup baik dengan keterujaan anda. Tetapi sayangnya, bukan semua pihak memahami keterujaan kita itu.

Bersabarlah dalam perhubungan dengan peguam, pihak bank dan juga pihak-pihak lain. Kadang-kadang kita nampak macam tiada yang ambil berat tetapi itu hanya pandangan kasar mungkin, kita tak tahu mereka bertungkus lumus menyiapkan kes anda.

Bersabar dan saling membantu itu yang lebih baik dari menghentam dan juga saling menyalahkan. Pilihkan tindakan yang lebih membantu menyelesaikan masalah. Insyaallah, sekiranya anda banyak bersabar… pasti urusan berjalan lancar.

Pengalaman saya sendiri menguruskan kes, anak guam yang sabar dan sopan bicaranya lebih teratur kesnya dan tiada banyak masalah. Percayalah apa sahaja urusan, Allah akan permudahkan dengan mudahnya diri kita.

One thought on “Tips Beli Rumah”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *